Jalan menuju maqom aslim yaitu
ke pintu gerbang makrifat secara umum terbagi menjadi dua. Jalan pertama
dinamakan jalan orang yang mencari dan jalan kedua dinamakan jalan orang
yang dicari. Orang yang mencari akan melalui jalan di mana dia kuat melakukan
mujahadah, berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat melakukan amal ibadat
dan gemar menuntut ilmu. Dhahirnya sibuk melaksanakan tuntutan syariat dan
batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat tasauf, mengenal sifat-sifat
yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada dirinya (tahalli). Kemudian diisikan
dengan sifat-sifat yang terpuji (tajalli). Dipelajarinya perjalanan nafsu dan melatihkan
dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci hingga meningkat ke tahap
yang diridhai Allah s.w.t.
Orang yang bermujahadah pada jalan Allah
s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dituntut, memperbanyakkan
ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah s.w.t menunjukkan jalan dengan
memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka kepadanya suasana berserah
diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan ridha dengan kehendak Allah s.w.t.
Dia dibawa sampai pintu gerbang makrifat dan hanya Allah s.w.t saja
yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke Hadirat-Nya ataupun tidak,
dikurniakan makrifat ataupun tidak.
Golongan orang yang dicari menempuh jalan
yang berbeda dari golongan yang mencari. Orang yang dicari tidak cenderung
untuk menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup selaku orang awam
tanpa kesungguhan bermujahadah. Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan satu
kedudukan kerohanian kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai ke
kedudukan yang telah ditentukan itu. Orang dalam golongan ini biasanya
berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan
kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak.
Kejadian yang menimpanya selalunya berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya
dengan sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya dengan Allah s.w.t.
Abu Hurairah r.a menceritakan yang beliau r.a mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang artinya:
Allah berfirman: “ Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan dia boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”.
Amal kebaikan dan ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah ditentukan Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t dengan rahmat-Nya mengenakan ujian bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan berhampiran dengan Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak perlu dipersoalkan tentang amalan dan ilmu sekiranya keadaan yang demikian terjadi kepada seseorang hamba-Nya.
Silakan dimanfaatkan sebaik-baiknya... Jangan sungkan menjelajah ke blog utama
Tidak ada komentar:
Posting Komentar